Implikasi Dari Aspek Guru
Implikasi Positif
Terdapat berlakunya peningkatan kendiri pada diri guru apabila guru mempelajari budaya kaum lain yang merupakan sebahagian daripada peranan guru untuk meningkatkan profesional seorang guru yang mengajar di sekolah terutama apabila guru perlu berinteraksi dengan ibu bapa pelajar yang berlainan kaum (Yong et al., 2018). Hal ini dikatakan demikian kerana guru akan kurang menghadapi masalah ketika berinteraksi dengan ibu bapa yang berlainan kaum terutama mereka yang tidak fasih dalam bahasa rasmi. Contohnya, seorang guru belajar bahasa Iban sebab beliau mengajar di kawasan pedalaman (sekolah Iban), jadi dia terpaksa berhadapan dengan ibu bapa yang langsung tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Hal ini dapat menunjukkan bahawa beliau merupakan seorang guru yang sering berusaha memperbaiki dirinya berdasarkan keperluan kerjayanya. Sikap beliau yang rela menyesuaikan diri dengan budaya orang Iban, iaitu mempelajari bahasa Iban bagi melancarkan interaksi bukan sahaja dengan ibu bapa malahan dalam usaha mendekatkan diri dengan pelajar.
Selain itu, guru yang mempunyai pengalaman mengajar murid pelbagai etnik dan budaya lebih daripada 10 tahun mempunyai tahap sensitiviti kepelbagaian budaya yang lebih tinggi berbanding guru yang mempunyai pengalaman mengajar murid pelbagai etnik dan budaya kurang daripada 10 tahun (Yasmin & Najeemah, 2016). Ini selaras dengan dapatan Yuen (2010) yang menyatakan semakin banyak pengalaman seseorang terhadap kepelbagaian budaya, semakin tinggi kebolehannya untuk melakukan adaptasi terhadap isu yang wujud antara budaya. Pelajar mungkin akan mempunyai fahaman yang salah tentang kaum lain, sekiranya guru tidak mempunyai pengetahuan yang secukupnya khususnya ketika melibatkan sensitiviti kaum tertentu. Misalnya, guru boleh berkongsi pengetahuan beliau dalam menerangkan kewajipan orang Islam memakai tudung kepada pelajar bukan Islam.
Implikasi Negatif
Sekiranya guru tidak menunjukkan teladan yang baik dan memiliki sikap bias atau tanggapan negatif terhadap satu-satu kaum mahupun agama, maka ini akan menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap guru sebagai suri teladan kepada golongan muda (Yong et al., 2018). Oleh itu, guru yang tidak melengkapkan diri dengan pendidikan dan latihan serta perkembangan semasa mengenai tentang ilmu kebudayaan kaum lain akan menyebabkan kekeliruan dan pertembungan kebudayaan berlaku.
Menurut Cartledge, Kea dan Ida (2000), pertembungan pelbagai kebudayaan kaum akan berlaku sekiranya seseorang guru menyampaikan sesuatu ilmu yang tidak sesuai dengan latar belakang pelajar yang berlainan kaum di dalam kelas. Contohnya, pada tahun 2013 di Gelang Patah, Johor, berlaku insiden seorang guru perempuan Cina mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kaum tertentu yang dianggap telah menjejaskan reputasi guru sebagai agen memupuk perpaduan (Utusan Online 2013). Manakala pada tahun 2016 pula, seorang guru besar telah bersikap perkauman terhadap seorang guru Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Chee, Mersing, Johor (Utusan Online 2016).
Kesannya, peristiwa sebegini akan menjejaskan keraguan masyarakat terhadap peranan sekolah sebagai institusi penting yang bukan hanya terbaik untuk memupuk perpaduan kaum malahan menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap guru sebagai suri teladan kepada golongan muda. Justeru, guru harus sering peka dan bersedia untuk menambahkan pengetahuan tentang kepelbagaian budaya dalam masyarakat untuk mengelakkan berlakunya perselisihan faham antara guru dan pelajar yang akan memberi kesan negatif terhadap pelbagai sosiobudaya di sekolah.

Implikasi Dari Aspek Murid
Implikasi Positif
Murid mampu memupuk perpaduan dan menerima kepelbagaian sosiobudaya tanpa mengira latar belakang agama dan kaum. Tamsilnya, melalui program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) yang dijalankan di sekolah, didapati tiga komponen di bawah program tersebut diterima baik oleh pelajar dari etnik Cina dan Melayu, sekaligus dianggap berjaya dalam memupuk perpaduan kaum dan menerima kepelbagaian sosiobudaya di sekolah. Tiga komponen tersebut adalah sukan dan permainan, aktiviti perayaan dan perhimpunan serta aktiviti perkhemahan dan lawatan (Hasnul & Mohd Syariefudin, 2018).
Sekiranya kepelbagaian sosiobudaya itu dapat diterapkan dalam diri pelajar, maka mereka akan dapat melihat perbezaan yang wujud adalah secara positif dan berupaya mengharmonikan perbezaan tersebut (Suraya et al., 2019). Justeru, guru perlu sering menerapkan nilai budaya daripada pelbagai kaum dalam kelas supaya mereka mampu mengenali dan memahami pelbagai budaya di Malaysia.

Implikasi Negatif
Pelbagai perbezaan dapat diperhatikan apabila pelajar berada di bangku sekolah, yang mana perbezaan ini mempunyai potensi yang tinggi untuk membentuk jarak sosial atau sempadan antara etnik dalam kalangan pelajar sekiranya tidak diberi perhatian yang sewajarnya (Suresh, 2017). Hal ini dikatakan demikian kerana keterbatasan hubungan antara pelajar merentasi etnik akan menimbulkan sikap stereotaip dan membawa kepada ketegangan antara etnik. Sikap prejudis dan stereotaip yang wujud dalam kalangan pelajar terhadap sesuatu etnik menyebabkan pelajar merasa persekitaran yang penuh dengan pertempungan antara satu dengan yang lain. Bukan itu sahaja, sikap ini juga akan menggugat keyakinan dan kepercayaan pelajar terhadap etnik lain, serta ikhtiar bagi mewujudkan hubungan yang positif antara pelajar pelbagai etnik sukar untuk dicapai (Suresh, 2017). Contohnya, terdapat etnik yang dipandang negatif sehingga muncul ungkapan-ungkapan seperti 'terlalu pintar', 'terlalu materialistik', 'terlalu licik' dan sebagainya. Apabila pelajar tidak diberi peluang yang mencukupi untuk berinteraksi dengan pelajar dari latar belakang budaya yang berbeza, mereka mungkin akan mengandalkan stereotaip atau pandangan umum yang tidak seimbang tentang etnik lain. Sekiranya stereotaip ini dibiarkan berkembang tanpa pendedahan atau pengalaman yang mencukupi untuk menentangnya, mereka boleh mendarat dalam persepsi pelajar dan mengukuhkan pemisahan antara etnik.

